Tuesday 31 December 2013

Trip JJCM : Hatyai

Cuti sekolah tahun ni sebenarnya takde plan ke mana-mana pun. Ingat nak bawak anak-anak berjalan dalam Malaysia je sebab geng rombongan aka my sista ada baby kecik. Pergerakan terbatas katanya. Saya yang selalu merangkap sebagai ketua kumpulan geng rombongan tak plan lah ke mana-mana. Jimat duit kononnya kan. Tetapi lepas dah baca satu blog ni Jarimanis (JM) pasal Hatyai terus je whatsapp Jay tanya kalau dia okey. Macam biasalah Jay memang selalu okey jeee...So, tengok JM naik tren, saya pun nak try jugak naik tren. Kali ni pergi berlima, ada tambahan sorang lagi anak buah Jay yang datang bertandang sempena cuti sekolah.

Mula-mula book tiket tren Senandung Langkawi straight to Hatyai (berhenti kejap di Padang Besar untuk cop pasport) RM400 return untuk 5 orang. 2nd class sahaja sebab tempat tidur kehabisan sehingga Januari 2014. Huhu...Ni semua gara-gara menunggu jawapan geng rombongan dari JB yang lambat bagi keputusan nak ikut ke tak. (Mesti nak petik nama orang jugak yang salah kan) Kuikuikui....

Tiket dewasa RM96 return x 3 = RM288
Tiket kanak-kanak RM56 return x 2 = RM112  Total RM400

Lepas tu booking hotel melalui Agoda.com. 2 malam harga RM141.00. Maknanya satu malam cuma RM70.50. Bilik memang puashati, siap ada bath tub tempat anak-anak berendam. Seronok sangat dorang. Hotel ni tak jauh sangat dari Stesen tren. Boleh jalan kaki je dalam 5-10 minit. Tapi  masa sampai dah letih dan  nak cepat sampai hotel saya naik tuktuk aje RM5 tapi free jugak sebab kami ambik servis dia untuk jalan sekitar Hatyai dan Songkhla. 

Hotel Hatyai Central 3 hari 2 malam RM141.00

Sampai hotel terus mandi, siap nak jalan sekitar Songkhla dulu untuk hari pertama. Dah janji dengan Sa driver tuktuk tu jam 1pm depan hotel dengan bayaran RM120. Bayar bila dah siap berjalan. Ada jugak tuktuk lain offer RM150. Mula-mula dia bawak kami makan di Restoran Chekkar. Saya makan tenggiri masak chekkar, kangkung belacan, telur dadar, nasi 4, jus tembikai 2, milo ais 2, teh o ais 1 RM67.00. Makanan okla jugak sedap dan paling penting kenyang. 


Mula-mula stop kat Chang Puak Camp iaitu tempat gajah. Boleh naik gajah dengan bayaran RM50, bagi makan gajah kena beli sebakul pisang RM10. Seronok jugak sebab kat tempat kita mana ada macam ni kecuali zoo lah kot tapi pun tak penah naik.

Naik gajah RM50 x 3 dewasa = RM150
Naik Gajah RM25 x 2 kanak-kanak = RM50  Total RM200.00

Lepas tu teruskan perjalanan ke area Songkhla. Mula-mula pegi Akuarium. Best sangat dapat tengok show dorang. Berbaloi dengan harga tiket. Turtle pakai baju. Menari dengan jerung dan aksi-aksi ikan lain. Memang terpegun sekejap. Tempat ni lebih kurang sama dengan Aquaria KLCC.

Tiket RM40 x 3 dewasa = RM120
Tiket RM30 x 1 Kanak-kanak = RM30  Total RM150.00 
Iris FOC

Lepas tu ke Samila Beach. Turun je tuktuk dorang dah panggil-panggil kita naik kuda. Bagi anak-anak jelah naik kuda keliling pantai. Acara wajib kat sini tentulah bergambar kat Statue of Mermaid. Klik, klik, klik....


RM30 x 3 orang naik kuda = RM90.00

Lpeas tu Sa tu bawak kita orang keliling Songkhla, naik feri menyeberang ke bandar Hatyai. Sangat jauh. Kami dah pelik jugak tak kanlah nak ke floating market jauh sangat. Rupanya dia saja nak bagi kami rasa naik feri. Tambang feri dia bayar. 

Lepas tu sampailah tempat wajib jugak kalau ke Hatyai iaitu Floating Market. Kami sampai dah malam. Tapi orang memang ramai. Apa yang saya boleh cakap memang best sangaaattt tempat ni. Rugilah sape tak datang. Esoknya pun saya berulang tempat ni. Makanan semua best. Rambang mata sekejap. Bahagian atas tu ada bazar macam uptown. Banyak jual baju, makanan pun ada. Kat tempat parking tuktuk pun ada pasar malam jugak. Kiranya kita akan lalu pasar malam ni dulu baru ke floating market. Dah kenyang makan n minum kami pun berjalan menuju ke tuktuk. Lalu pasar malam sekali lagi.

Lepas tu Sa bawak kami ke pasar malam Kim Yong pulak. Ni macam lebih kurang uptown la. Tapi barang-barang dia best sangat. Setiap kedai tu berbeza jenis barangan dan paling penting tersangat murah. Apa yang saya perasan kat Hatyai ni harga makanan agak mahal tapi harga barang jauh lebih murah. Kat pasar ni saya tak beli apa pun. Jay dengan anak buahnya beli t-shirt Hatyai dengan kemeja. Saya lebih kepada mencuci mata jelah. Lepas tu terus balik hotel, rehat. Badan pun dah penat seharian berjalan. Balik hotel mandi, terus tidur sampai esoknya. 

Sini subuh jam 5 pagi macam Sabah. Kul 6 lebih tu dah cerah. Memang tak bolehlah nak tidur sampai tengah hari. Tapi pun tak boleh nak keluar sebab hujan. Kami cuma sarapan dengan sisa bekal yang saya bawak. Ada oreo, twisties, pringles. Semua habis pagi tu. Patutnya saya dah pesan kat Jay bawa megi tapi dia lupa pulak.

Hujan dah reda dalam jam 11 pagi. Kami semua pun dah siap. Terus keluar jalan-jalan. Mula-mula tukar duit dulu sebab duit yang bawak dari rumah dah kehabisan. Rate lebih kurang je. Ada beza dalam sen-sen aje. Dah tukar duit, teruskan perjalanan. Kami jalan kaki aje nak lihat kawasan sekeliling. Jalan dalam lima minit jumpa Sulaiman Restaurant. Perut pun dah lapar. Terusla duduk dan order makanan. Kali  ni nak try Tomyam Thailand pulak. Saya order tomyam 2 orang makan, telur dadar 2 orang makan, nasi 4, kerabu sotong 2 orang makan, milo ais 2, teh o ais 3 RM65.00. Agak mahal tapi puas hati sebab sedap. Perut pun dah kenyang. Jom teruskan jalan-jalan.

Singgah Robinson. Robinson ni sama macam shopping complex kat KL. Semua barang berjenama ada dalam ni. Tak masuk pun tak apalah sebab kat KL pun ada tapi bagi yang nak shopping silakan. Harga saya tengok lebih kurang je.





Dah letih jalan kaki, Jay call Sa minta dia pulak bawak kami sekeliling Hatyai City. Hari ni dia bawak kami ke Municipal Park. Sini banyak temple Buddha. Kami naik cable car, lawat kawasan sekitar. Lepas tu turun semula pergi Ice Dome. Sebelum pergi Ice Dome kami jalan-jalan taman tu dulu. Naik bot yang kayuh tu. Best jugak. Cuma RM4.00 satu bot kayuhla sampai bosan. Hehehe.

Kebetulan kat taman ni ada pesta lantern. Cantik-cantik hiasan yang dorang bina. Tapi datang siang tak nampakla kerlipan lampu-lampu. Dapat tengok hiasan lampu tu aje. Ada Ultraman, Minion, dragon, replika bangunan-bangunan terkenal seluruh dunia macam Eiffle Tower, Taj Mahal dan banyak lagi.

Lepas tu jalan sikit lagi jumpa Ice Dome. Saya dan Jay tak masuk pun sebab tempat ni sama macam iCity. Kita bagi anak-anak je masuk. Dalam setengah jam dah siap dorang. Kesejukan. Tak boleh lama-lama.

Tiket 1 dewasa x RM30
Tiket 2 kanak-kanak RM50  Total RM80.00

Lepas tu Sa ajak ke floating market lagi. Sebab semalam datang malam, tak nampak sangat sekitar. Hari ni kita pergi siang. Rupanya hari Sabtu lagi penuh orang. Bersesak-sesak macam tengah ada acara makan free. Lagi meriah la. Kali ni saya sempat pusing seluruh kawasan sekitar floating market. Banyak jugak jualan. Seronokla cuci mata. Dah puas jalan-jalan dan makan-makan sampai tak larat nak bangun dah, kami pun balik. Sa ajak pulak ke night market. Pusing-pusing lagi. Kali ni pun dapat jalan-jalan seluruh night market sebab tak penat macam malam sebelumnya. Nak jalan pun malas. Masa ni orang belum ramai sebab kami sampai awal. So, dapatla jalan-jalan secara santai menikmati barang jualan. Terapi mata ni namanya.

Dah pusing seluruh pasar kita pun balik ke hotel. Nak mandi segala, segarkan badan sebab malam ni dah plan nak jalan area Lee Garden. Kul 10 gitu baru keluar lepas rehat sekejap atas katil. Ikutkan memang nak lena terus tapi fikirkan bila lagi nak pergi. Entah sampai lagi entah tak lepas ni kan. So, gagahkan diri jugak jejakkan kaki ke area Lee Garden.

Jalan kaki dalam 5 minit dah sampai. Dari jauh dah nampak kemeriahan Lee Garden. Patutlah ramai orang nak duduk hotel ni. Memang centre of attraction la hotel ni. Hotel bersebelahan dengan shopping complex, malamnya pulak penuh dengan hawkers jual food sedap-sedap. Memang seronok. Rambang mata pilih food. Saya makan pulut ayam RM9.00. Memang sedap. Yang lelain makan nasi lemak RM4.50 sebungkus tapi tak cukup sebungkus sorang. Semua makan 2 bungkus sorang. Tak lupa jugak saya cuba laicikang. Memang terbaiklah. Waktu tulis story ni pun rasa nak pergi makan lagi. Hehehe...

Dah kenyang semua, kita jalan-jalan lagi. Rupanya area situ memang penuh dengan tempat jualan. Tempat jual kekacang gajus, sotong keirng bergula tu, kismis, segala macam la semua ada. Pilih je nak apa. Lepas tu ada Lady Pink market tapi sama je macam pasar malam Kim Yong. So, kami just tengok-tengok aje. Malas nak bersesak lagi pun. Tempat urut pun semua full house. Memang hebat. Kebanyakan muka rakyat Malaysia je.

Situ jugakla tmepat kami beli udang galah. Ada pulut mangga, durian pun ada. Smepatla tapau udang galah goreng dengan tiram goreng salut telur bawak balik hotel. Sambung makan lagi. Terus tidur. Agaknya bagi duduk seminggu kat Hatyai mau naik 10 kg. Huhuhu.

Esoknya pepagi dah bangun. Kemas apa yang patut. Sebab hari ni last day kat Hatyai. Walaupun seronok kat sini tapi tetap ingat rumahku syurgaku. :) Tren jam 4 petang. So, ada sikit masa lagilah nak pusing-pusing dan beli apa yang patut. Pagi tu kami just breakfast jajan dengan oren jus. 1 oren jus macam saiz peelfresh besar tu dan 2 keropok macam Twisties saiz besar RM16.00. Dah kemas semua terus jalan kaki ke stesen tren. Mula-mula call jugak Sa suh datang ambik tpai dia busy. Malas pulak nak ambik tuktuk lain. Pergi stesen tren nak letak beg dulu. Tak akan nak bawak kehulu hilir. Berat. Tak larat la. Letak 4 bijik beg kena caj RM9.00. Okla tu daripada kena usung tiap masa. Lepas letak beg terus jalan semula cari tempat makan. Kali ni kami makan kat Mustafa Restaurant. Dekat area Lee Garden. Sebelum tu sempat tukar lagi duit sebab dah kehabisan di area Lee Garden malam tadi. Kerja asik tukar duit je. Gitulah gaya orang cuti bajet. Tapi dalam cuti bajet pun habis jugak ribu-riban. Nasib baik memang standby duit RM. Kalau tak kebulurla kami kat sana.

Last day ni kami makan simple je janji kenyang. Order nasi goreng ayam 3, nasi biasa 1 dengan telur dadar 2 orang makan. Teh o ais 3, milo ais 1 tapi di atak hantar pun milo ais. Kena RM30.00.

Lepas tu pergi semula kat tempat sotong kering tu beli bawak balik untuk sedara-mara dan kawan-kawan. Habiskan duit baht yang ada. Akhirnya adalah 60baht untuk buat kenangan. Biasa memang aku akan simpan buat kenangan. Kononnya nak letak dalam album tapi gambar percutian tu pun tak dicuci mana pulak datang album.

Nak habiskan waktu sementara tunggu tren kami jalan-jalan shopping complex nak sejukkan badan. Singgah Mister Donut makan donut macam Big Apple tuh. Order chocolate drink sekali. Jalan-jalan sampai tingkat atas. Rupanya atas sekali tu best pulak. Ada macam pasar jualan kraftangan. Semua produk dorang buat sendiri. Best cuci mata. Beli lah jugak souvenir untuk diri sendiri.

Masa nak naik tren pun dah tiba. Terus jalan kaki ke stesen tren. Tren pun dah ada menunggu. Jom lah kita pulang ke pangkal jalan :)

Alhamdulillah sekali lagi berpeluang melawat negara orang walaupun takde oversea sangatttt kannnn...apa pun saya tetap bersyukur.  


Kek Minyak

Dah lama pasang niat nak buat kek ni sempena ramai sangat kawan share kat FB. Pelik jugak tetiba kek ni jadi famous amos. Tengok rupa dia tu macam kek marble biasa aje. So, kita pun nak try jugak lah kan bagi puashati rasa ingin tahu ni. Resepi ambik kat FB kawan aje. Buat ni Sabtu lepas sebab family dari JB datang bertandang ke rumah 3 hari 2 malam. Memang sesuai sangatlah kan boleh jamu dorang sekali. Bahan senang, buat pun senang. Simple je cara-cara. Tak rumit sangat tu yang jadi rajin sikit nak mencuba. 

Kek ni saya bakar sebab kebetulan pengukus tak ada di rumah. Pengukus berjalan ke rumah orang lain buat sementara waktu. Hehehe. Ada yang berminat nak pinjam. Saya pun malas nak pergi menjemput pengukus tu pulang. Jadi kita bako aje. Lepas dah siap terus keluarkan. Kek jadi membukit dan merekah sikit sebab oven yang dah tak berapa nak betul. Patutnya dalam masa sejam dah boleh masak tapi kerana keuzuran oven jadi satu jam setengah baru masak elok. Sebab tu kek merekah tapi rasa tak mengecewakan. Kek tak manis sangat. Rasa macam kek zaman dulu kala waktu zaman saya sekolah. Esoknya ada baki lagi sebab tetamu sampai dah lewat malam. Rupanya dah biar semalaman lagi sedap. Dah rasa lembab sikit keknya berbanding hari kejadian yang agak kering. Mungkin kalau kukus lagi sedap ni.

Nanti insya-Allah kita cuba buat yang versi kukus bila pengukus dah habis bercuti di luar kawasan. :)

Terima kasih pada yang share resepi.


Kek Minyak Kukus/Bakar

Bahan-bahan:
5 biji telur
½ cawan gula
1 sudu teh ovalette
1 sudu teh esen vanilla
¾ cawan susu pekat
2 ½ cawan tepung naik sendiri
1 cawan minyak
Pewarna

Cara-cara:
1.    Panaskan kukusan. Loyang dilenser dengan butter dan ditabur dengan sedikit tepung bagi elak kek melekat.
2.    Pukul telur, gula dan ovalette sampai kembang.
3.    Masukkan susu pekat. Pukul sebati.
4.    Perlahankan speed. Masukkan tepung berselang-seli dengan minyak hingga habis. Pukul lagi dalam 5 minit.
5.    Bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut pilihan.
6.    Sudukan berselang-seli mengikut warna ke dalam Loyang.

7.    Kukus lebih kurang 1 jam atau sehingga masak. Siap.

Monday 21 October 2013

Puding Milo Lapis Oreo


Alhamdulillah berjaya gak buat Puding Oreo ni. Semalam cousin nak datang tengok nenek yang baru sampai kat umah Ma. Duduk sementara sehingga dia rasa bosan. Dah bosan kang kenala hantar pulang. Hehe...Bahan dah lama beli. So, semalam masa yang sesuai untuk cuba. Nampak cam susah gak cara-caranya sebab kena buat selapis-selapis. Tapi dah cuba semalam rasa macam senang la jugak. Terima kasih pada yang kongsi resepi. Rasa pun sedap, tak manis sangat. Dah habis pun semalam.





Sumber: Kak Yati Sinar Kehidupanku
Resepi Asal: AlongRoz

Bahan : ( Saiz: 8" persegi )

1 bungkus @ 10g Jelly Powder - Serbuk Agar-Agar
750ml Air
160g Gula - Mas ikut Ayu 140g gula
1 tin @ 400g Susu Cair
3/4 cup Serbuk Milo
1 bungkus (137g) Oreo Cookies - patah2kan tp biarkan sandwich 2 lapis

Cara :

Masak serbuk agar2 dan air sehingga larut.
Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
Masukkan susu, kacau sebati sehingga mendidih.
Asingkan 2 cwn ke dlm periuk yg lain dan campurkan milo sehingga sebati.
Tuangkan 1 cwn campuran milo ke dlm acuan.
Panaskan campuran milo yg separuh lagi dgn api paling kecil supaya tidak membeku.
Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan kesemua adunan putih tadi.
Taburkan biskut oreo.
Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan baki adunan milo tadi.
Biarkan membeku di suhu bilik sebelum masukkan ke dlm petisejuk.

TIPS UNTUK MELAPIS:

Jangan tunggu sehingga lapisan membeku sepenuh nya sbb takut lapisan tidak melekat.
Jika membeku semua, guris2kan permukaan dgn garfu sebelum tuangkan lapisan seterus nya.
Pastikan adunan masih panas apabila menuang ke atas lapisan sebelum nya supaya ia melekat dgn baik.

Ni pulak yang saya buat. Dah tuang secawan campuran milo tu saya terus letak dalam freezer bahagian atas tapi tak lama. Agak-agak dah beku tu kurang dari 5 minit, saya terus keluarkan dan letak lapisan susu pulak. Masukkan balik dalam freezer, begitu jugak dengan lapisan akhir. Lepas tu biarkan membeku macam biasa kat luar. Dah beku betul-betul baru masuk peti sejuk bahagian bawah.






Monday 23 September 2013

Puding Triffle

Susun kek gulung, lepas tu renjis2 air buah koktel tu. Lepas tu tabur buah koktel
   Semalam rajin pulak nak buat Puding Triffle. Lama nya dah saya tak buat puding Triffle ni. Cari balik resepi lama. Bahan-bahan dah beli hari Sabtu. Susah jugak nak cari agar-agar segera tu. Kedai dekat rumah semuanya takde. Speedmart pun takde. Kena pegi cari kat pasaraya besar pulak.  
   Biasa kalau buat saya memang guna resepi ni. Memang sedap. Kurang manis. Air buah koktel tu kita just renjis-renjis je kat kek gulung tu. Jangan dicurahkan nanti kek basah. Tak sedap dan terlalu manis pulak. Buat senang, kejap je dah siap. 


Lepas tu letakkan kastard. Kalau ada buah koktel lebih blh taburkan lagi. Saya dah habiskan semua. 
Ni pandangan sisi lepas dah letak jelly. Nampak comot sikit tapi sedap, insyaAllah. :)


Sumber: Fotopages Hanieliza

TRIFFLES 

Bahan-Bahan:
 
1 bungkus kek swiss roll 
1 kotak agar-agar segera (Lady's Choice) - perisa strawberry 
1 tin fruit cocktail 
2 sudu besar tepung kastard (saya buat 4 sudu)
3 sudu besar gula 
3 cawan susu segar (saya guna 1 tin susu cair)

Cara: 
1. Campurkan tepung kastard, gula dan susu dan masak sehingga menggelegak dan kepekatan. angkat dan biar sejuk. 
2. Potongkan kek swill roll dan susun ke dalam bekas [kalau nak cantik..masukkan dlam bekas kaca..nanti nampak lapisan triffle ni] sehingga penuh. 
3. Kemudian ambil sedikit jus buah cocktail dan tuangkan keatas kek tadi. 
4. Tuangkan kastard tadi keatas kesemua kek sehingga rata. 
5. Taburkan buah cocktail keatas kastard tersebut. 
6. Bancuh agar-agar segera mengikut arahan yang telah disediakan dan tuangkan keatas buah cocktail tadi. 
7. Masukkan ke dalam peti sejuk. 

Friday 23 August 2013

Ayam Goreng Kunyit


Semalam buka puasa buat sup ayam. Lepas tu try masak ayam goreng kunyit tapi maaflah tak pasti siapa tuan punya resepi. Selalu makan kat kedai je. Tengok macam senang, kita pun cubala masak sendiri pulak. Apa pun terima kasih pada yang sudi kongsi resepi.

Bahan-bahan:
1 keping dada ayam - dihiris nipis
1/2 inci kunyit hidup/serbuk - tumbuk dengan sedikit garam
3 ulas bawang putih - ketuk
1/2 labu bawang besar - potong memanjang
1/2 batang carrot - potong memanjang
4 tangkai kacang buncis
1 tangkai cili merah - hiris
1 tangkai cili hijau - hiris
garam dan gula secukupnya

Cara:
1. Gaul hirisan dada ayam dengan kunyit hingga rata.
2. Goreng dalam minyak terendam hingga hampir garing.
3. Angkat dan toskan. Ketepikan.
4. Keluarkan minyak dari kuali, tinggalkan sikit untuk menggoreng.
5. Panaskan minyak, masukkan bawang putih, goreng hingga perang. Masukkan bahan-bahan lain.
6. Perasakan dengan sikit garam dan gula. Masak sebentar.
7. Masukkan ayam. Gaul rata. Siap.


Thursday 28 March 2013

Cheese Puding

Sempat buat puding ni malam Rabu lepas. Sedap jugak. Rasa macam nestum. Dapat pun banyak. Dapatlah bagi pada jiran-jiran yang selalu kongsi makanan kat rumah tu. Merasala sorang sikit. Semua kata sedap. Alhamdulillah. Cuma saya blend biskut tu tak halus sangat. Jadi ada ketul-ketul la sikit. Next time kalau buat lagi kena guna blend yang kering. Terima kasih Along sudi share resepi.


CHEESE PUDING
By: 
Along Roz 

13g Serbuk Agar-Agar
1 liter Air
120g Gula
3 biji Telur
120-150g Biskut Cheese - blend halus
1 sb Tepung Kastad
400ml Susu Cair
200g Susu Pekat
50g Mentega
sedikit oreo di buang creamnya - ita tambah

Masak serbuk agar2 dgn air sehingga hancur. Kacau selalu.
Masukkan gula & kacau sehingga sebati.


Pukul telur sehingga rata dan campurkan biskut dan tpg kastad.
Masukkan susu dan kacau sebati.
Tuangkan ke dlm adunan agar2 tadi dan tutup api apabila mendidih.
Masukkan mentega sehingga sebati.

Tuang ke dlm loyang atau acuan. Ita layerkan dengan biskut oreo. Susun Biskut dalam loyang dan buat selapis demi selapis. Kemudian biarkan sejuk di suhu bilik.
Sejukkan sebelum di hidangkan.

Friday 22 February 2013

Cendawan Goreng + Sambal Kicap

Rabu lepas beli cendawan tiram dengan jiran yang mengusahakan ladang cendawan ni. Ni kira hasil kali pertama lah. Dia terus hantar ke depan pintu rumah. Banyak senang zaman sekarang. Dahla order secara online. Tup-tup barang pun sampai. Hehe...

Sebab ni kali pertama hasilnya jadi dia jual murah-murah saja. RM1.00 untuk satu pek yang biasa dijual RM2.00 untuk satu pek kalau kat pasar malam. Saya beli tiga pek. Tengok besar-besar dan segar cendawannya. Beli banyak kang nak  buat apa pulak. Membazir je. Cendawan ni kan tak boleh disimpan lama. Nanti berbau dan basah. Dah tak sedap untuk dimakan.

Esoknya ingat nak buat tomyam. Tapi terbuat sup ikan pulak. So, dapat idea nak goreng je cendawan tu celup tepung.

Dah siap basuh, kita toskan cendawan tu. Kalau basah sangat  nanti susah nak lekat pulak tepungnya. Lepas tu kacau dua biji telur macam nak goreng telur dadar. Letak tepung Serbaguna Kentucky dalam pinggan supaya senang kita nak golekkan cendawan. Dah celupkan dalam telur tu golekkan pulak cendawan tadi dalam tepung. Buat semua sekali sampai siap. Lepas tu goreng dnegan api perlahan supaya tak hangit. Sebab cendawan ni cepat masak. Dah warna kuning keemasan tu angkat. Cicah dengan sambal kicap. Memang marbeles! Ayam KFC pun out. Hehe

Monday 18 February 2013

Bihun Sup Simple

  Semalam malas pulak nak masak nasi. Dalam esbox ada rangka ayam. Bihun pun ada lagi separuh. Terusla sediakan bahan-bahan untuk buat Bihun Sup. Saya buat yang simple aje tapi insya-Allah sedap dan menyelerakan. Buktinya bertambah dua kali husband makan.

  Pastu malam tu ajak jiran dua tiga orang datang makan. Kebetulan dorang nak tengok baju. Sambil tu menjamu selera sekali lah. Selalu dorang datang tengok baju tak hidangkan apa-apa pun walaupun segelas air. Hehe...Tengok dorang makan pun bertambah dua kali, maknanya lulus lah rasanya tuh. Alhamdulillah.



Wednesday 13 February 2013

Laksa Penang

Saya tak suka bahan hiasan lain kecuali salad dan telur rebus
   Cuti lama sangat sempena CNY. Mood rajin pun tetiba datang. Lepas masak untuk makan tengahari terus rebus ikan untuk dibuat laksa. Teringin pulak nak makan laksa. Tapi kat area rumah tu takde pulak yang menepati selera. Buat pun banyak sebab nak mengganti pemberian jiran-jiran yang dah lama tertangguh. Segan pulak simpan tupperware orang lama-lama.

  Resepi laksa ni saya dapat di MyResepi tapi maaflah dah lupa siapa tuannya. Dulu semua resepi yang di copy saya tak simpan nama tuannya. Cuma sejak 2-3 tahun kebelakangan ni barulah ada kesedaran nak menyimpan nama tuannya sebagai ucapan terima kasih di atas kesudian berkongsi resepi. Namun siapa pun pemiliknya saya ucapkan ribuan terima kasih.
 
Resepi ni simple tapi memang sedap. Inilah resepi yang saya guna kalau nak buat laksa. Memang menepati citarasa. Dah siap tu dapatlah bagi pada dua jiran bagi mengganti pemberian mereka pada saya. Lega rasa hati selesai hutang. Hehe...


Bahan Kuah:
1/2 kilo ikan sardin - rebus }
1 biji bawang besar}
5 biji bawang merah}
Belacan sebesar ibu jari}
Segenggam cili kering (lebihkan kalau nak pedas)}
1 tin kecil sardin}blend

5 keping asam
3 biji bunga kantan (belah 2)
Daun kesum

Laksa - rebus

Hiasan:
Bawang besar
Nenas
Salad
Timun
Lada
Telur rebus

Ikan dibersihkan dan direbus. Asingkan tulang dan isi. Isi dikisar halus bersama bahan-bahan lain. 
Tulang dikisar bersama air rebusan dan tapis.
Masukkan semua bahan dalam periuk dan tambahkan air ikut kesesuaian. Kacau sebati sehingga mendidih. Tambahkan perasa. Hidangkan bersama laksa dan bahan hiasan.

Kerabu Sotong


Request from my hubby ni. Tetiba je kan mintak kerabu sotong. Ini semua gara-gara my sister upload gambar kerabu maggi kat facebook. Saya pernah buat sebelum ni kerabu sotong tapi dah lupa ikut resepi siapa. Kali ni saya agak-agak jelah bahan-bahannya. Alhamdulillah, menjadi. Terbaik hubby kata. Hehe..


Bahan:
4 ekor sotong - rebus sekejap
3 batang serai - hiris nipis
2 bunga kantan - hiris nipis
Daun kesum
1 biji tomato - potong dadu
5 biji cili api
7 biji limau kasturi - ambil airnya
1 biji bawang besar - mayang
Garam, gula dan perasa 

Sotong dibersihkan dan direbus sekejap. Potong kecil-kecil. 
Campurkan semua bahan dan gaul. Siap.

Wednesday 30 January 2013

Sotong Szechuan


Hari ni saya berpuasa ganti. Selasa dah mula puasa. Ingat nak habiskan terus mengganti puasa. Tak nak jadi macam tahun-tahun lepas terkejar-kejar nak mengganti bila masa dah makin suntuk. Sendiri yang lelah. Heheh.

Bila dah habis mengganti puasa awal-awal tahun ni bolehlah puasa sunat pulak kalau rajin, insya-Allah.

Semalam  berbuka kat rumah Ma je. Ma masak asam rebus ikan tilapia. Fuuhhh...sedap sungguh hingga menjilat jari. Tapi hari ni Ma keje shift petang. So, tak dapatla menumpang makan kat rumah Ma. Kenala masak sendiri. Memandangkan dah lamaaaaa sangatttt saya tak update blog jadi sebab nak cari resepi-resepi best saya bukalah blog. Terjumpa pula resepi kat arkib yang berlambak-lambak disimpan yang hanya menunggu masa untuk dicuba. 

So, hari ni saya decide nak cuba resepi Sotong Szechuan. Tapi terlebih dahulu nak mohon maaf sebab saya lupa dari blog mana saya copy resepi ni. Kalau ada tuan punya resepi lalu di sini harap halalkan ye. Terima kasih.

Dah siap masak, bau pun sedap. Tak sabar nak makan. Tunggu azan maghrib terus rasa sotong. Walla, memang sedap. Kena dengan selera. Husband pun suka. Walaupun asas bahannya kicap tapi tak sama dengan sotong masak kicap. Memang berbaloi mencuba. 


Bahan-bahan
6 ekor sotong
3 ulas bawang putih - dicincang
6 tangkai cili kering - potong serong (kalau suka pedas tambahkan lagi)
1 labu bawang besar - belah lapan
1 sudu besar kicap sotong (tak ada)
2 sudu besar kicap hoisin (tak letak sebab tak ada saya tambah 2 sudu besar kicap manis)
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 batang daun bawang-potong 1 inci
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara Menyediakan
1. Sotong dipotong melintang dan dikelar isinya.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili kering dan kacau hingga garing.
3. Masukkan sotong, kicap hoisin, kicap pekat, sos tiram dan kicap manis. Kacau hingga rata dan biarkan hingga sotong empuk.
4. Masukkan bawang besar, daun bawang,  garam dan gula. Kacau hingga rata dan angkat. Hidang semasa masih panas.