Wednesday 22 November 2017

Blueberry Cheese Tart


Lama sangat dulu try buat cheese tart ni. Lepas tu malas dah nak buat. Bila sekarang asyik lalu-lalang di FB, jadi teringin pulak nak buat. Maka terhasillah dia. Dapat lebih kurang 50 bijik, habisnya tak sampai dalam sejam dah licin. Jimat banyak buat sendiri dan dapat makan puas-puas.


Tart Crust / Shell 
Bahan-bahan :
170gm marjerin/butter
50gm gula aising
1 biji telur Gred C
290gm tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara : Pukul marjerin dan gula dengan menggunakan senduk kayu. Jangan putar lama sangat. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi dengan senduk kayu. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh. Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar. Bakar pada suhu 170oC sehingga masak. 


Cream Cheese Filling 
Bahan-bahan :
250gm cream cheese
50gm gula kastor / gula halus
1 biji telur Saiz B
½ sudu teh esen vanilla / esen lemon


Cara-cara : Putar cream cheese dan gula hingga berkrim. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi. Masukkan filling blueberry ke dalam kulit tat. Tuang cream cheese ke atasnya. Bakar selama 10-15 minit pada suhu 170oC. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar lagi. 

Nak mudah masukkan filling dan cream cheese, gunakan piping bag. 
Nak dia montok, kena paipkan menegak dan penuh membukit. Nanti dah masak dia akan montok.
Nak buat corak macam tu, saya gunakan pencungkil gigi. Celup sikit dalam pewarna dan corakkan.

Tuesday 21 November 2017

Agar-agar Pandan


Agar-agar yang tak pernah membosankan. Buat pun senang, bahan pun sikit. Kacau-kacau dah siap. Tunggu beku, boleh makan.

Agar-agar Pandan

10 gram serbuk agar-agar
1 cawan gula pasir
4 cawan air
200ml santan kotak + 50ml air
1 biji telur - pukul dengan santan tadi
Secubit garam
2 helai daun pandan
Pewarna hijau
Perisa pandan - tak letak


Blendkan daun pandan, santan dan air. Tapiskan.
Masak air dengan gula dan daun pandan
Bila gula sudah larut, masukkan serbuk agar-agar dan kacau hingga semuanya larut
kecilkan api. Masukkan pewarna hijau. Kemudian tuangkan campuran santan, garam dan kacau terus hingga mendidih. Guna api sederhana dan sentiasa dikacau.

Monday 20 November 2017

Piknik di Ulu Slim Eco Park, Tanjung Malim


Best sangat tempat ni. Kawasan besar, bersih, terjaga, kemudahan pun cukup lengkap. Sungai pun best. Boleh pilih nak cetek ke, dalam ke, yang berbatu ke. Ikut kita. Pondok dan wakaf pun ada banyak disediakan. Wakaf siap ada point plug, lampu. Memang sangat sesuai nak berpiknik. Siap boleh bawakla rice cooker ke apa.

Saya plan nak camping separuh hari sebenarnya. Siap bawak dah khemah dan semua peralatan tapi kali ni pergi dengan kawan perempuan dan anak-anak 6 orang. Memandangkan takde lelaki dewasa dalam group kali ni, malas pulak nak pasang khemah. Memikirkan nak pasang dan kemas balik tu yang sungguh la malasnya. Hehehe




Jadi kami duduk kat pondok je masak-masak dan makan. Anak-anak macam biasalah terus terjun sungai. Mandi tak ingat dunia sampai kecut kaki tangan. memang dah siap-siap pakai baju mandi dari rumah. Dalam kereta asyik tanya bila nak sampai, bila nak sampai. Perjalanan lebih kurang sejam setengah dari rumah saya di Sungai Buloh.

Walaupun tempat ni jauh ke dalam dan sunyi, tapi ada pengawal keselamatan yang jaga pagar 24 jam. Pagar pun sentiasa ditutup.



Bila sampai sini tengok macam best pulak kabin tempat penginapan yang disediakan. Sebab  malas nak pasang khemah, kami pun booking la kabin 1. First time la masuk dalam kabin yang dibuat bilik. RM120 sebuah kabin tapi berbaloi la sebab ada 6 katil single, 6 towel, 6 sabun mandi. Ada toilet dalam kabin, aircond. Puas hati sangat la. Yang penting memang bersih dan terjaga. Landskap dorang pun cantik. Penuh dengan pokok bunga. Pastu nampak ada toilet untuk kegunaan orang awam yang dalam pembinaan.





Masa kami kat sini ada 2 buah kereta datang camping. Lepas tu ada dalam 3-4 buah kereta yang datang picnic macam kami. Bayaran untuk yang datang picnic sahaja dorang caj RM15.00 untuk satu kereta, yang camping RM25, kabin pulak RM120. Tapi ada kabin VIP yang ada katil queen dalam RM200 rasanya. Tak ingat pulak harga.

Yang tak pernah lagi sampai kawasan sini, bolehlah try. InsyaAllah berbaloi. Sebelum datang belilah semua keperluan sebab kat sini memang takde kedai makan. Lagi satu line Umobile memang langsung takde ye. Maxis pun slow. Tapi bagus juga takde sebab kurang gangguan dan dapat tumpukan sepenuh perhatian pada anak-anak hahahahaha...

Thursday 15 June 2017

Biskut Semperit Susu



Time rajin menjelma macam-macam nak buat. Ni kejadian masa hari puasa pertama. Tanya my doter nak makan apa nanti berbuka. Nak makan biskut semperit katanya. Ayoyo biskut raya pulak di mintak. Tapi sebab senang mama rajin lah buat. Maka penuhla sebalang tu buat kudapan di malam ramadhan.


Resepi

250 g butter (saya guna butterlite sebab murah heheh) suhu bilik
1 cawan susu pekat (saya guna 3/4)
400 g tepung jagung
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu esen vanila


Mix sekejap je butter dan susu. Masukkan esen, tepung, gaul sebati. Letak pewarna kalau nak. 
Boleh diterap.
Bakar pada suhu 160c lebih kurang 20 minit. Siap

Wednesday 14 June 2017

Kek Oreo Cheese Leleh


Masih guna resepi yang sama cheese leleh sebelum ni tapi saya buat plain aje tak tambah apa-apa perasa. Cuma hiasan kali ni letak oreo sebab tu bagi nama oreo pulak. Sebab kek ni sedap sangat dan jadi favorite anak-anak tu yang selalu buat. Resepi boleh tengok pada post sebelum ni.


Tuesday 13 June 2017

Kek Strawberry Cheese Leleh



Selalu buat vanilla dengan pandan je. Kali ni kita try buat strawberry pulak. Hanya tambahkan emulco strawberry je pun. Pastu tambahkan pewarna nak bagi merah sikit. Kalau emulco saja tak berapa nak merah. Rasa macam biasa memang sedap. Hehehe

Tepi kek comot sebab tak pandai nak sapu

Kek Strawberry Cheese Leleh

1 cawan gula
1sb emulco strawberry
1 sb ovalete
5 biji telur
1/4 cawan minyak
1/4 cawan air
2 cawan tepung gandum + 1sk soda bikarbonat + 1 sk baking powder + 1 sk cream of tartar /cuka/lemon jus - ayakkan


Mixer telur, pes strawberry, pewarna merah, ovalete dan gula dengan high speed selama 20 minit. Masukkan tepung berselang-seli dengan air, mix lagi sampai sebati. Masukkan minyak dan kacau guna senduk. Sapu loyang dengan minyak dan letak baking paper. Bakar selama 40 minit suhu 160c atau ikut oven masing-masing. Dah siap terus terbalikkan atas redan dan biar sejuk. Potong tengan kek untuk letak cream cheese.

Cream Cheese

250g cream cheese
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan whipping cream

Mix sebati. Boleh letak cream cheese pada tengah kek dan permukaan kek.

Lebihan cream cheese tadi tambahkan 1/2 cawan susu cair untuk lelehan. Tuang atas kek. Parutkan cheddar cheese dan siap. Sejukkan dalam peti baru sedap.



Thursday 1 June 2017

Laksa Penang


Lamanya tak buat laksa. Tapi sejak akhir-akhir ni kerajinan menjelma. Terusla buat. Senang je buat. Bahan pun tak banyak.

Laksa Penang

Bawang besar
Belacan
Cili Mesin

Blend semua. Masukkan dalam periuk. Tambah daun kesum, asam keping, bunga kantan.

Ikan sardin - rebus dan blend
Sardin tin saiz sederhana - blend sekali dengan ikan sardin basah

Masukkan semua. Tambah air secukupnya. Bila dah  mendidih, tambah perasa. Sediakan ulaman dan hidang. Siap.

Kerabu Kerang Thai


Dah lama dok lalu-lalang kat wall FB. Sebab Thai Food memang kegemaran saya, gigihla saya buat. Bulan puasa pulak tu kan. Teringin dia lain macam. Heheh. Puas hati dapat makan. Next time kena buat pedas-pedas.


1kg kerang
3 biji cili padi *
1 biji bawang kecil *
1 ulas bawang putih *
1/2 inci belacan bakar *
1 sudu daun ketumbar *
1 biji tomato *

1 s/b sos ikan
1 s/b gula pasir
1 s/b jus limau kasturi / nipis
1/2 cawan jus asam jawa

Cara penyediaan :

Cuci kerang dan rebus sampai kerang terbuka sedikit. Buang sebelah kulitnya, dan simpan didalam air sejuk / ais supaya tak kecut
Cincang / potong dadu kesemua bahan bertanda *
Toskan kerang tadi, letakkan didalam mangkuk / piring.

Campurkan bahan yg dipotong dadu dengan sos ikan, gula, air limau dan asam jawa l. Adjust rasa secukpnya masam, manis, pedas... Tak payah garam sebab sos ikan tu dah masin

Thursday 11 May 2017

Fluffy Pancake


Buat lagi untuk ke berapa ratus kali entah. Memang dah jadi favorite anak-anak termasuk mama dia. Sarapan paling senang kot nak disediakan. Senang dan lazat.

Fluffy Pancake

170g tepung gandum + 2 sdb baking powder
3 sdb gula halus
1/2 sk garam
2 biji telur
300ml susu segar
3 sdb butter cair

Masukkan semua bahan dan blend. Tapiskan ke dalam bekas.

Panaskan non stick pan. Letak satu senduk untuk 1 pancake. Biar sampai bubble pada permukaan takde baru terbalikkan. Biar sekejap dan siap. Sedap makan dengan sos coklat atau aiskrim

Wednesday 10 May 2017

Roti Puri dan Kari Ayam


Kari ayam lebihan daripada dinner malam tadi. Pagi ni kita buat roti puri. Senang je nak buat. Dalam sejam dah boleh makan. Sedap pun ye

Roti Puri

2 cawan tepung gandum
1 sudu teh yis
3 sudu besar minyak masak
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam
3/4 cawan air panas

Cara

Gaulkan sebati tepung gandum, yis, garam, gula, minyak masak. Masukkan air panas, gaul rata. uli adunan sampai tidak lekat di tangan. Kemudian bulat-bulatkan. perap selama 15 minit.

Setelah adunan kembang, lenyekkan dengan penggelek. Panaskan minyak dan goreng sampai kekuningan. Waktu goreng kena selalu simbah minyak atas roti tu. Baru dia mengembang.

Tuesday 9 May 2017

Kek Pisang


Lama sangat dah tengok resepi ni viral kat FB. Buatnya tidak. Maka bila kerajinan datang malam tadi terusla buat. Memang sedap. Moist sangat keknya. Macam di kukus pulak. Dapat pun banyak. Memang puas makan.

Resepi Kek Pisang
by Azlina Ina
Bahan-bahan:-

4 biji pisang sederhana @ 3 biji pisang besar (kupas dan lecekkan) - lecekkan awal pisang dan biarkan gelap sedikit agar warna kek yang terhasil lebih cantik.
1 1/2 cawan tepung gandum* @ tepung naik sendiri
1 sk baking powder* (kalau dah guna tepung naik sendiri, tak perlu tambah baking powder)
1/2sk soda bikarbonat* 
4 sb tepung jagung* - bahan bertanda * diayak bersama
1 cawan minyak masak
3 biji telur
1 cawan gula kastor/perang (saya guna 3/4 cawan gula pasir yang dikisar halus)
1 sb ovellate
1 sk perisa vanila
hirisan nipis pisang

Cara:-
1. Satukan gula, ovelatte, telur, perisa vanila dan mix sehingga gula hancur dan telur kembang. (Boleh juga guna blender)
2. Masukan pisang yang dilecek dan minyak.
3. Tuangkan ke dalam bekas berisi tepung. Kaup balik sehingga sebati.
4. Masukkan adunan ke dalam loyang, susunkan hirisan pisang.
5. Bakar pada suhu 170C 30-45minit. 
6. Terbalikkan keluar dari loyang dan sedia dihidang.

Monday 8 May 2017

Puding Milo




Tak puas makan puding milo lapis susu hari tu sebab saya nak puding milo style mak-mak kita dulu. Cari resepi macam tak jumpa pulak. Rupanya ada kat youtube. Try la buat. Menjadi dan sedap memang macam mak-mak kita buat dulu. Yeahh dah berjaya. Terima kasih pada yang share resepi. Hasil pun banyak. Puas makan.


Resepi Puding Milo

1 pek agar-agar tali
1.5 liter air
*Masak hingga hancur agar-agar

1 cawan milo - lagi banyak lagi bagus
1 cawan air panas
1/2 cawan susu pekat
*Kacau sampai sebati

Agar-agar dah hancur, masukkan campuran milo. Kacau. Tambah gula 3 sudu besar, tambah susu pekat lagi kalau rasa tawar. Tutup api. Masukkan dalam acuan. Dah suam, masukkan dalam peti. Siap.

Friday 5 May 2017

Kek Marble Trio Lebaran


Balik keje dah siap masak, makan, teringin pulak makan kek. Lagipun bosan duduk rumah takde buat apa. Anak-anak pun takde homework. Teruslah kita godek-godek kek kat dapur. Sedap sangat kek marble ni. Moist. Dapat pun banyak. Cuma marble saya tu tak menjadi sangat bahagian atas. Salah teknik pulak.

Hasil dalam kek

Resepi Kek Marble Trio Lebaran
by Azlina Ina

4 biji telur
3/4 cawan gula halus/kastor
1 sb ovalete
1 sk esen vanila
* Mix hingga gebu (putih krim lebih kurang 5 minit)

1 3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung jagung
1 sk baking powder
*Ayakkan
*Masukkan sikit-sikit ke dalam adunan telur tadi dan mix lagi 3 minit.

250g butter
5 sb susu manis
*Mix sampai kembang (kuning pucat)
*Masukkan ke dalam adunan tadi dan kaup balikk hingga sebati.

Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Tambahkan serbuk koko 3 sb atau coklat emulco ke dalam 1 bahagian tadi. Kacau rata. Isikan adunan putih ke dalam loyang selang seli dengan adunan coklat.
Panaskan oven 170c selama 5 minit. Turunkan suhu kepada 160c dan bakar kek selama45-50 minit api atas bawah (ikut oven masing-masing).

Thursday 4 May 2017

Pulut Kuning Lagi


Sedap sangat sampai anak-anak request pulut kuning lagi. Sebab senang nak masak dan bahan memang ada, mama pun rajinla. Tapi kali ni rendang takde. Kita makan dengan telur dadar je. Hehehe...Jadila kan macam makan nasi dengan telur. Tapi kali ni saya guna 1 1/2 cawan santan campur 1/2 cawan air panas sebab saya guna santan cair je. Jadi lagi berlemak dan lagi lembut dan lagi sedap. heheheh


PULUT KUNING EKSPRESS - Azie Kitchen
Cara masak pulut kuning cepat..tapi hasilnya sama seperti di kukus.

Bahan-bahan ( 5-6 org makan )
2 cawan beras pulut 
1 cawan santan pekat + 1 cawan air panas
1 sdt garam
1 helai daun pandan
1 sdb minyak masak
Sedikit serbuk kunyit
pewarna kuning

Cara-cara
Cuci beras pulut hingga bersih..masukkan semua bahan2 kedalam rice cooker
Setelah mendidih..gaul pulut supaya tak berkerak..kemudian biarkan hingga masak..

Wednesday 3 May 2017

Puding Milo Lapis Susu



Buat puding ni untuk bawa ke majlis ofis sempena pertukaran seorang pegawai. Fikir punya fikir apa nak buat, dapatla resepi simple ni dan kebetulan bahan semua ada kat rumah. Kalau takde, memang malas nak ke kedai beli. Hehehe..


Kejadian puding cantik sangat. Berkilau-kilau. Rasa pun sedap tapi keras sikit. Saya suka kalau dia lembut lagi sikit. Mungkin kena tambah air tapi untuk buat hiasan di meja hidangan memang sesuai sangat sebab cantik dan walaupun dah lama keluar peti ais dia tak berair.


Resepi Puding Milo Lapis Susu
Sumber : Kak Ummi
Rujukan: Jthorge

Bahan (Lapisan Coklat)

8 gm agar-agar tali (strand) - basuh dan toskan
1 3/4 cawan air 
1/3 cawan gula
3/4 cawan serbuk Milo

Cara-Cara:-
Masak agar-agar bersama air hingga agar2 larut. Masukkan gula dan milo, kacau perlahan hingga gula larut. Tapiskan.Tuangkan aduna ke dalam loyang empat segi 20 x 20 cm ataupun dalam acuan yang dikehendaki. Biarkan beku sebentar.Kemudian cakar sedikit permukaan lapisan coklat dengan garfu dan bolehlah dituangkan lapisan susu nnt.


Bahan Lapisan Susu:-
10 gm agar-agar tali (basuh dan toskan)
1 1/2 cawan air 
1/2 cawan gula
1 cawan susu sejat Ideal/Carnation
beberapa titis esen vanila

Cara-Cara:-
Masak agar-agar dengan air hingga agar-agar larut.Masukkan gual an kacau sebati hingga gula larut. Tapiskan.Masukkan susu sejat dan esen vanila.Dengan perlahan-lahan, tuangkan adunan ke atas lapisan coklat tadi. Letak dalam fridge dan hidangan sejuk2.




Tuesday 2 May 2017

Moist Chocolate Cake


Lama sangat dah tak buat kek ni. Dulu masa mula-mula tau buat kek, kek nilah yang selalu dibuat. Pastu stop lama sangat tak buat. Tetiba kali ni teringin pulak nak makan. Respei yang selalu dibuat entah ke mana. Kita cuba resepi lain tapi sedap jugak resepi ni. Kejadian pun elok je cuma bahagian topping saya fail sikit. Kena cuba lagi.

Kejadian sebelum topping. Cantik elok



Resepi Moist Chocolate Cake
By: Elly Halim

Bahan2..
Bahan A..
90gm serbuk koko
200gm gula kastor
200gm minyak masak/minyak jagung/canoli/
sunflower
250g susu pekat
1 tin susu cair

Bahan B (dicampur & dipukul sampai kembang..guna SUDU/GARFU je ye)
4 biji telur gred A
esen vanila..

Bahan C (dicampurkan sekali & diayak)
150 gm tepung gandum/kek/superfine
1sd kcil baking powder
1sd kecil bakig soda

Cara2..
1.Masukkan semua bahan A dlm 1 bekas stainless steel/periuk , kacau rata smpai sebati & masak ats api kecil..API KECIL YE!!
masak sekejap je sambil adunan dikacau..kacau pelan2..xperlu mndidih @ sampai berasap...adunan hanya suam2 panas..kalau rasa bekas tu da panas bole terus tutup api
2.Masukkan bahan B ke dalam adunan td & kacau
3.Masukkan pula bahan C & kacau sehingga sebati
4.Masukkan ke dalam loyang yg dah disapu dgn butter/marjerin & dilapik dgn baking paper..sy guna loyang saiz 9 inci..nak TEBAL sikit guna LOYANG 8inci
5.Panaskan oven dulu ye (preheat) sy panaskan 10min suhu 180c
Bakar sehingga masak..nk KUKUS pun bole..sy bakar dlm oven dgn suhu 160c selama 1 jam..walaupun bakar tapi tetap moist
6.Sejukkan kek dulu baru curahkan choc topping..sy sejukkan kek dalam chiller..nanti topping akan melekat cantik dekat kek

Resepi choc topping..
200gm choc compound/choc masak..didadu/
dipotong kecil
100gm whipping cream
Masukkan choc compound dlm bekas stainless steel..double boil kan..bl coklat da cair masukkan pula cream tadi..kacau smpai sebati..siap

*nak pekat sikit guna 80gm whipping cream

Tuesday 18 April 2017

Teringin Rendang dan Pulut Kuning


Semalam mengganti puasa yang masih berbaki empat hari lagi. Duduk kat ofis, teringinnya nak makan pulut kuning dan rendang. Google cara masak pulut sebab saya memang tak pernah masak pulut sendiri. Macam susah hehehe...Bila nampak Kak Azie Kitchen share cara masak pulut kuning pakai rice cooker terusla rajin nak buat sendiri.

Pulut dalam rice cooker. Macam masak nasi je

Balik kerja terus beli bahan. Terus buat dan Alhamdulillah puas dapat makan. Pagi ni menyambung sahur dengan pulut kuning lagi. Tapi 2 pot pulut tu ngam untuk 4 orang makan je. Next time kena lebihkan sikit. Terima kasih Kak Azie Kitchen share resepi pulut kuning. Sedap, berlemak, lembut. Memang tekstur yang saya suka.

Rendang pulak saya ikut resepi my mom je. Sedap hingga menjilat jari heheh dan paling penting cara buat dan bahan yang sangat simple. Bagi orang yang tak berapa pandai masak macam saya sesuai sangatlah.



PULUT KUNING EKSPRESS - Azie Kitchen
Cara masak pulut kuning cepat..tapi hasilnya sama seperti di kukus.

Bahan-bahan ( 5-6 org makan )
2 cawan beras pulut 
1 cawan santan pekat + 1 cawan air panas
1 sdt garam
1 helai daun pandan
1 sdb minyak masak
Sedikit serbuk kunyit
pewarna kuning

Cara-cara
Cuci beras pulut hingga bersih..masukkan semua bahan2 kedalam rice cooker
Setelah mendidih..gaul pulut supaya tak berkerak..kemudian biarkan hingga masak..

Rendang Ayam

Seekor Ayam

Kisarkan:
7 Biji bawang merah
Sebiji bawang besar
5 biji bawang putih
Lengkuas sebesar ibu jari
Halia sebesar ibu jari
3 sudu besar cili mesin 

3 batang serai diketuk
1/2 cawang kerisik
Garam dan perasa
2 helai daun kunyit / daun limau purut

Cara:
Tumiskan bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan ayam. Biar air kering.

Masukkan santan. Kacau biar rata. Dah mendidik masukkan kerisik. Ayam dah masak, perasakan dengan garam dan perasa. Masukkan daun kunyit /limau purut. Masak seketika dengan api kecil. Siap.

Tuesday 28 March 2017

Blueberry Cheese Tart


Lama dah teringin nak cuba buat resepi ni. Selalu beli je tapi tak puas makan sebab mahal. Heheh...Kali ni kita try buat sendiri. Modal dalam RM30 dapat 56 biji cheese tart. Berbaloi ke tak. Entahla tapi kepuasan dapat mencuba sesuatu yang memang benda kita minat tu tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Chewahh, gitu plak kan.

Corak tu masih comot sebab first time kan. Tangan dahla memang keras tak pandai melukis. Apa pun puashati dapat buat sendiri dengan jayanya, Yeahhhh...

Nampak comot tapi bila dah bakar dia akan elok je membulat 


Blueberry Cheese Tart

250g cream cheese
60g gula kastor

Mixer kan dua bahan ini sampai sebati. Masukkan 1sk esen vanilla, 1 biji kuning telur dan 1 sb butter. Mixer kan sebati. Masukkan dalam piping bag dan boleh isi dalam tart shell. Sebelum tu boleh letak filling yang digemari macam blueberry, strawberry, nuttela. Siap.

Resepi tart shell boleh google heheh

Monday 27 March 2017

Puding Karamel Tanpa Telur


Buat puding ni untuk majlis ofis makan-makan. Semua kata sedap. Alhamdulillah. Buat pun senang je. Terima kasih yang share resepi.

: Bahan-bahan :

For Caramel Sauce
2 senduk gula
1/4 cawan air

For Pudding
1 tin susu cair
1/2 tin susu pekat manis
3 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kastad
1 sudu kecil esen vanilla
1 bungkus (10g) serbuk agar-agar instant
3 1/2 cawan air



: Cara-cara :

For Caramel Sauce
1. Gunakan pan, masak gula pasir dengan api perlahan sehingga warna gula bertukar menjadi keperang-perangan
2. Masukkan air sedikit demi sedikit, kacau rata dan tutup api
3. Tuangkan caramel sauce kedalam bekas mould pudding anda

For Pudding
1. Ambil mangkuk, masukkan tepung jagung dan tepung kastad. Kemudian tambahkan sedikit air dan kacau hingga larut. Tapis ketulan-ketulan degil agar pudding anda cantik (Aku telah mengabaikan step ni thus pudding aku tak berapa nak cantik hehe)
2. Ambil periuk, masukkan bancuhan tepung tadi berserta dengan serbuk agar-agar instant dan air. Masak menggunakan api perlahan sehingga mendidih
3. Apabila sudah mendidih, masukkan susu cair, susu pekat manis dan esen vanilla. Kacau rata lebih kurang 5 minit dan tutup api
4. Tuangkan pudding dalam bekas mould yang berisi caramel sauce tadi

5. Biarkan di room temperature seketika sebelum masukkan dalam fridge. Voila!

Thursday 2 March 2017

Kek Cheese Leleh


Kek ni cubaan pertama saya buat lepas dah asyik sangat viral di FB. Teringin pulak nak buat sendiri. Sebelum tu pernah beli sebiji kek cheese untuk birthday kawan. Lepas tu try pulak buat sendiri. Nampaknya yang buat sendiri lagi sedap sebab lelehan dia banyak. Heheh...lelehan tu yang sedap hingga menjilat jari..

Tapi yang ini saya mengelat sikit sebab kek nya saya gunakan campuran tepung yang dah siap di kedai bakery. Butter Cake Mixed harga dalam RM5.00. Boleh buat dua bijik kek macam dalam gambar. Lepas tu saya buat cream cheese. Walla...memang sedap...kek sedap, cream cheese pun sedap. Sampai licin bekas tu.


Cream Cheese

250g cream cheese
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan whipping cream

Mixed sebati. Letakkan pada tengah dan permukaan kek. Lebihan cream cheese ni tambah 1/2 cawan susu cair. Mixed sebati. Tuangkan atas kek untuk lelehan. Parutkan cheddar cheese. Letakkan dalam peti 2-3 jam. Siap.

Wednesday 1 March 2017

Kek Pandan Cheese Leleh


Kawan anak bujang nak datang rumah study group. Fikir punya fikir baik buat kek jamu dorang makan. Nak masak makanan berat-berat nanti agaknya tak makan. Sebab memasing dah lunch dekat rumah. Datang jam 2.00 petang haruslah dah lunch kan. So, boleh terus minum petang aje kat rumah saya. Saya buat kek ni start jam 9.00 pagi sebab kek ni nak kena letak dalam peti sejuk baru sedap. Kali ni ikut resepi Azlina Ina jugak. Memang sedap. Kek pandan pun jadi elok je walaupun sebenarnya resepi asal kena kukus. Sebab saya malas nak keluarkan pengukus, saya bakar aje. Kek naik membukit. Suka sangat tengok kalau kek naik macam tu hehehehe...



Kek Pandan Cheese Leleh

1 cawan gula
1 sk pewarna hijau
1 sb ovalete
5 biji telur
1 1/2 sb pes pandan
1/4 cawan minyak
1/4 cawan air
2 cawan tepung gandum + 1 sk soda bikarbonat + 1 sk baking powder + 1 sk cream of tartar / cuka /lemon jus - ayakkan

Mixer telur, pes pandan, pewarna hijau, ovalete dan gula dengan high speed selama 20 minit. 
Masukkan tepung berselang-seli dengan air. Mix lagi sampai sebati. Masukkan minyak dan kacau guna senduk. Sapu loyang dengan minyak dan letak baking paper. Tutup loyang dengan plastik (untuk kukus. kalau bakar tak perlu) Kukus 40 minit / bakar 40 minit suhu 160c atau ikut oven masing-masing. Terus terbalikkan atas redai dan biar sejuk. Potong tengah kek untuk letak cream cheese.
Tengok ni cantik je kejadian kek ni kan. Nak potong pun senang je


Potong dua bahagian macam ni untuk letak cream cheese
Cream Cheese

250g cream cheese
1/2 susu pekat
1/2 whipping cream

Mix sebati. Boleh letak cream cheese pada tengah kek dan permukaan kek.

Lebihan cream cheese tadi tambahkan 1/2 cawan susu cair untuk lelehan. Tuang atas ke. Parutkan cheddar cheese dan siap.






Tuesday 28 February 2017

Kek Span Vanilla


Alahai lembut gebu gebas sungguh kek ni. Tak rasa dah makan setengah bijik kek hehehe...Bagi jiran rasa sorang sikit. Semua pakat mintak resepi. Sebab lembut, gebu-gebas dan tak manis dorang cakap.


Kek Span Vanilla

BAHAN A :

- 1 cawan tepung gandum.

- 1 cawan gula.(ni manis2 buah je..kalau nk manis lagi lebihkan gula.)

- 1 sudu besar ovallete.

- 1 sudu kecil baking powder.

- 5 biji telur gred A.


BAHAN B:

- 1/2 cawan air (kalau nk buat yg pandan, gantikan dgn air pandan)

- perisa/pes (ikut suka nak pandan ke, keladi ke..or ape2 aje...)

- pewarna.


BAHAN C:

- 1/2 cawan minyak jagung. - saya guna minyak masak


CARA-CARANYA:

1. masukkan bahan A ke dalam bekas adunan. putar laju selama 5 minit sehingga gebu dan sebati. (jangan lebih-lebih..nt terlalu kembang)

2. Perlahankan pemutar,masukkan bahan B. putar lagi selama 5 minit sehingga sebati.

3. hentikan pemutar, masukkan bahan C dan gaul menggunakan kaedah kaup balikmenggunakan sudip / senduk sehingga sebati.

4. panaskan oven selama 10 minit, api atas bawah. griskan loyang dengan mentega dan tuangkan adunan tadi. kek akan sangat naik, jadi tuang lebih kurang separuh ataupun 3/4 loyang sahaja.

5. kemudian bakar sehingga masak.lebih kurang 45 minit.bergantung kepada oven.cucuk lidi kalau nak tahu masak sepenuhnya atau tak..




Monday 27 February 2017

Cream Puff Filling Custard


Kali kedua buat cream puff ni. Lama dulu masa mula-mula berjinak dengan dunia masakan ada try buat. Masa tu banyak kita cuba resepi dari MyResipi.com. Memang menjadi. Suka sangat waktu berjaya buat cream puff. Lepas tu tak buat dah. Sekarang asyik tengok cream puff je lalu-lalang kat fb, kita pun terpengaruh sama nak buat. Maka terhasillah cream puff filling custard kali ni. Saya suka filling custard berbanding filling whipping cream tu. Sebab takde stok warna kuning di rumah, maka saya hentam saja letak warna pink. Heheheh...janji rasa dia sama sudah. Anak bujang request warna purple pulak lepas ni. Pengsan mama

Tengah kacau filling kastard

Better jangan bakar bertingkat macam ni sebab yang bawah terbantut perkembangan

Cream Puff filling Custard

1 cawan air
2 biji telur gred B
1 sb gula
1 cawan tepung gandum + 1 sk baking powder + 1 sk soda bikarbonat
1 sk esen vanila
3/4 cawan butter

Masukkan air, gula dalam periuk. Gula dah hancur masukkan butter. Bila dah mendidih masukkan tepung gandum. Kacau rata. Biarkan suam.
Bahan yang dimasak tadi mixer kan 3 minit lebih kurang untuk sebatikan. Masukkan telur sebiji-sebiji dan esen vanila. Mix sebati.
Masukkan adunan dalam piping beg. Piping kan atas baking paper. Spray air atas cream puff sebelum dibakar. Bakar suhu 170c lebih kurang 25-30 minit api atas bawah. Siap.

Filling Custard

2 sb tepung kastard
2 sb gula kastor
1 1/3 cawan susu segar
30gram butter (lebih kurang 2sb)
2 sk esen vanilla

Cara:

Satukan semua bahan kecuali butter dan esen vanilla. Kacau rata dengan whisk dan masak dengan api perlahan hingga pekat. Padam api. Tambah butter dan esen vanilla. Kacau rata dan biar sejuk. Pipekan ke dalam cream puff. Gunting cream puff separuh atau cocok je dengan nozle. Saya cocok je 

atau try yang ini

Filling Cream Custard Vanilla Cheese

1/2 cawan air + 3sb tepung kastard. Larutkan
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
2 sb gula
1 sk esen vanilla
1/2 cawan cream cheese (optional)

Masak semua bahan sampai agak pekat. Matikan api, teruskan kacau dan boleh pipingkan masuk dalam cream puff. Tabur gula icing atasnya. Siap.